Saturday, August 15, 2009

DIMANA TULISAN JAWI KINI???????


Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah yang menjadikan segalanya mempunyai hikmah dan tujuan. Selawat dan salam buat Nabi Muhammad saw utusan Allah untuk sekelian alam.

Allah swt menjadikan manusia ini berbangsa-bangsa, suku dan berpuak-puak, kejadian tersebut tidak terlepas dari tujuan dan hikmah, hakikatnya tetap kembali di dalam mengabdikan diri kepada Allah swt. Di dalam Allah swt menjadikan suku dan puak tersebut tidak terlepas juga tanda dan identiti bangsa itu disertakan buat mereka untuk membezakan satu bangsa dengan bangsa yang lain. Bukan bermakna ianya untuk memecah belahkan mereka tetapi menambah erat dan baiknya hubungan di antara mereka di atas saling mengenali antara satu sama lain, ianya telah dijelaskan lagi oleh Allah swt di dalam firman Nya:

“ wahai manusia,sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang paling bertaqwa di antara kamu. Sesunggahnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” ( Al Hujurat : 13 )

Bangsa melayu adalah sebuah bangsa yang tidak ketinggalan di dalam menukilkan nama di persada dunia dari berabad dulu lagi, bahkan kini ianya semakin dikenali di mata dunia, mungkin sebab cara mengenali tersebut berbeza. Kalau ratusan tahun dahulu bangsa melayu lebih dikenali dengan kehebatan dan kekuatannya tapi kini mungkin lain sebabnya.

Bangsa melayu tidak terlepas juga diantara bangsa yang diberikan sesuatu yang dapat membezakan dengan bangsa lain, di antara percakapan, penulisan juga menjadi aspek utama bagi bangsa melayu ini di dalam komuikasi sehingga lahirnya sebuah penulisan yang bernama tulisan jawi.

Tulisan jawi ini berasal dari sebuah kerajaan Samudera Pasai atau di kenali dengan Samudera Darussalam yang diperintah oleh seorang raja yang bernama Maliku Salleh, ia terletak di persisir pantai Sumatera pada abad ke 13M satu ketika dahulu. Sebuah kerajaan yang besar, pusat perdagangan dan perkembangan agama Islam. Sebagai sebuah kerajaan yang besar, di kerajaan ini juga berkembang sebuah kehidupan yang menghasilkan karya penulisan yang baik. Sekelompok minoritas kretif berhasil memanafaatkan huruf arab yang dibawa oleh agama islam untuk menulis karya mereka di dalam bahasa melayu. Maka lahirlah penulisan yang dinamakan tulisan jawi dan hurufnya dipanggil arab jawi.

Sehingga hari ini, kita masih lagi dapati ada sebahagian tempat seperti Brunai masih lagi memakai tulisan jawi sebagai penulisan rasmi mereka, walaupun ada sebahagian Negara yang berbangsa melayu menolak tulisan jawi secara tidak langsung. Mereka lupa identiti yang sepatut mereka jaga dan pelihara bahkan jika dilihat dari Negara-negara lain, kemajuan setinggi mana pun mereka gapai tetapi identiti diri terutamanya bahasa lebih-lebih lagi penulisan tetap mereka jaga dan pelihara bahkan mereka pertahankan.

Kemelut permasalahan yang terjadi dikalangan anak melayu kita yang semakin buta terhadap tulisan jawi kurang diambil berat oleh mereka yang sepatutnya. Ini juga dirasai oleh golongan orang lama. Jika kita kembali kepada sejarah perjalanan tulisan jawi di tanah air kita ini, kita akan dapati suatu ketika dahulu pernah tulisan jawi diharamkan, sehingga lahir golongan yang terus tidak mengetahui tulisan jawi. Bila ditanya dan dirisik, maka mereka yang bersekolah ketika itu membuat pengakuan sehingga mereka meluahkan yang mereka lebih arif sejarah peradaban penjajah dibandingkan sejarah kemelayuan islam sendiri. Kita juga pernah dikejutkan dengan pengharaman akhbar utusan melayu, satu-satunya akhbar yang menggunakan tulisan jawi ketika itu tetapi pengharaman tersebut tidak lama. Bagaimana pun ianya kini hanya boleh kita dapati seminggu sekali pada hari isnin di dalam satu halaman khas yang menggunakan tulisan jawi, tidak lagi sebuah akhbar yang menggunakan seratus peratus isi kandungannya menggunakan tulisan jawi.

Apabila kita cuba selami kemelut yang terjadi ini, kita akan dapati permasalahan ini kini menjadi satu barah yang semakin parah tetapi tidak ada usaha untuk mengubatinya. Inilah yang amat menyedihkan kita bila sesuatu yang sepatutnya dipertahankan tetapi diambil sambil lewa bahkan mereka menganggap pihak yang cuba untuk mengubati barah ini sebagai golongan yang tidak menerima kemajuan.

Permasalah ini bukan setakat golongan yang terus buta tulisan jawi tetapi timbul juga pada golongan yang celik tulisan jawi. Ini dapat dilihat bila ejaan sesebuah perkataan itu berbeza-beza mengikut kemampuan individu itu sendiri. Ada yang beralasan ianya lahir dari jawi lama dan jawi baru, walaubagaimana pun ianya tetap dikira satu permasalahan yang timbul disebabkan pemakaian tulisan jawi yang tidak seragam. Ini berbeza dari penggunaan bahasa lain, walaupun mereka juga mempunyai istilah bahasa dan penulisan lama dan baru tetapi mereka berjaya untuk menyatukan penggunaan dikalangan mereka.

Bila dilihat dan diteliti barah yang terjadi ini, ianya secara tidak langsung telah membawa permasalahan ini kepada kata-kata “ melayu akan hilang didunia”. Ini kerana usaha untuk mengubatinya tidak ada, bahkan lebih menitik beratkan bahasa dan penulisan bangsa lain.

Walaupun kita lihat ada usaha-usaha dari pihak yang bertanggungjawab tetapi ianya setakat “melepaskan batuk ditangga, jangan sampai orang kata takda”. Tidak sebagaimana mereka memberi penekanan kepada bahasa yang mendatang. Kita tidak sesekali menolak kepentingan bagi mempelajari bahasa lain bahkan ianya telah diberi penekanan sendiri oleh Rasulallah saw, tetapi jangan sampai “ beruk di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”.

Marilah sama-sama kita bermuhasabah diri di dalam melihat kepentingan dan tanggungjawab kita sebagai seorang yang mempunyai identiti bukan sekadar menyarung identiti orang lain. Fikir-fikirkanlah buat kita dan jenerasi akan datang, agar mereka terus kenal dan berpakaian dengan identiti sendiri.


wAllahu A’lam.

No comments: